Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN
RM 230 JUTA UNTUK PENIAGA BUMIPUTERA

LANGKAWI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengeluarkan pinjaman lebih RM230 juta kepada 5,227 usahawan Bumiputera seluruh negara bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek, berkata bagaimanapun jumlah itu tidak cukup bagi membiayai keseluruhan permohonan pinjaman yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun.

"Walaupun Mara terpaksa menghadkan jumlah pembiayaan disebabkan masalah peruntukan, program membantu usahawan Bumiputera tetap diteruskan menerusi pelbagai sumber lain, malah proses kelulusan turut dipercepatkan.

"Antara sumber pembiayaan Mara adalah menerusi kutipan semula pembiayaan yang dikeluarkan kepada usahawan kecil," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Mara (Aura) 2009 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Mara, Datuk Idris Jusoh dan Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Datuk Othman Ahmad.

Hassan berkata, daripada pembiayaan itu, Mara turut mensasarkan melahirkan lebih ramai kontraktor Bumiputera yang mengaplikasi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) seperti dikehendaki Kementerian Kerjaraya.

"Keputusan kerajaan untuk mewajibkan 70 peratus pembinaan negara menggunakan IBS adalah peluang baru bagi usahawan Bumiputera untuk menceburi perniagaan bersesuaian yang boleh memberi keuntungan berganda.

"Kalau tidak cukup modal untuk memulakan perniagaan berasaskan IBS, datanglah berjumpa Mara, cuma jangan bersikap seperti kacang lupakan kulit dan sentiasa bersikap proaktif untuk membuat bayaran balik pinjaman," katanya.

No comments :