Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN
LEBIH 400 KES KEMALANGAN ELEKTRIK SEMENJAK 2002

Sebanyak 205 kes maut akibat kejutan elektrik dicatatkan daripada 411 kes kemalangan elektrik yang berlaku di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dalam tempoh lapan tahun sejak tahun 2002.

Naib Presiden Tenaga Nasional Berhad (TNB), Rozimi Remeli berkata kes kemalangan tertinggi dicatatkan pada tahun 2007 (79 kes) diikuti sebanyak 75 kes pada tahun 2008 dan hanya 69 kes tahun lalu.



Kes maut itu membabitkan kakitangan TNB dan orang awam tetapi beliau tidak memberikan butirannya.

“Bagaimanapun trend kes kemalangan mula menurun hasil kefahaman yang kita berikan kepada masyarakat," katanya kepada pemberita selepas Seminar Kesedaran Keselamatan Elektrik (SKKE) Peringkat negeri Terengganu di Institut Perguruan Sultan Mizan (IPSM) dekat sini hari ini.

Rozimi berkata, Laporan Suruhanjaya Tenaga itu mendapati kerja pemasangan dan selenggaraan yang tidak sempurna menyumbang sebanyak 37.2 peratus daripada punca kemalangan.

“Prosedur kerja selamat yang tidak dipatuhi juga menyumbang kepada 32 peratus punca kemalangan," katanya.

Seminar sehari anjuran TNB yang disertai 300 guru sekolah rendah dan menengah daerah Besut itu dirasmikan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu, Ariffin Embong.

Rozimi berkata, setakat ini pendedahan menerusi seminar seperti itu telah dijalankan terhadap 4,700 orang guru, membabitkan 500 sekolah di seluruh negara dan telah menampakkan keberkesanannnya.

Katanya, kes kemalangan elektrik membabitkan pelajar menunjukkan penurunan hasil peningkatan kesedaran masyarakat dalam aspek penjagaan keselamatan.