Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN
PAKEJ MURAH : SUDAH POTONG ?

Semua syarikat pengendali rangkaian jalur lebar diberi tanggungjawab mengkaji pengenalan pakej yang lebih murah bagi mengurangkan beban rakyat dan meningkatkan kadar penembusan Internet di kalangan isi rumah.

Pakej lebih murah itu juga dianggap bonus tambahan kepada had tuntutan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM500 untuk langganan pakej jalur lebar tahun ini.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM), kadar penembusan jalur lebar di Malaysia ketika ini ialah 31 peratus daripada enam juta isi rumah yang diselidiki.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengakui langkah itu bukan sesuatu yang disukai oleh syarikat-syarikat terbabit tetapi mereka ada tanggungjawab sosial untuk melaksanakannya.

Di pihak kementerian itu pula, kajian pakej mampu milik akan dijalankan dengan membuat perbandingan kepada kadar caj perkhidmatan yang sama di negara seperti Korea, Singapura, Thailand, Vietnam dan Kemboja.

"Kita akan mencari jalan supaya harga pakej jalur lebar di Malaysia tidak lagi mahal," katanya pada sidang media selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Angkasapuri semalam.
MENGKOMERSIALKAN KAPAL LAYAR

GIATMARA agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), akan memasarkan secara komersial seni pertukangan kapal layar tradisional Melayu menerusi kerjasama dengan penggiat industri yang masih aktif hingga kini iaitu Abdullah Muda dari Pulau Duyong, Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Meriyam Abd Majid, berkata kerjasama itu termasuk usaha GIATMARA membangunkan kurikulum pembinaan kapal layar tradisional dengan kerjasama Custom Made Wooden Yacht (CMWY) milik Abdullah.

Katanya, projek itu bertujuan mengekalkan warisan pembuatan kapal layar tradisional Melayu yang sebelum ini dipelajari secara lisan oleh pembuat kapal atau ‘pandai kapal’ dan kemudian membukukan ia mengikut kemahiran Abdullah yang lebih dikenali di Duyong sebagai Pak Haji Dollah.

“Kapal layar yang akan dikenali dengan nama Warisan Dayang GM1 dibangunkan dengan kos kira-kira RM2 juta, yang mana RM1.5 juta daripadanya ditaja dana khas kerajaan Persekutuan.

“Ketika ini, 85 peratus cara pembuatan kapal layar tradisional siap didokumenkan yang mana ilmunya seperti kaedah pengukuran diterjemahkan terus ‘dari dalam kepala’ Pak Haji Dollah.

“Keistimewaan kapal layar tradisional projek GIATMARA dan CMWY berukuran 60 kaki panjang ialah ia tidak menggunakan sebarang peralatan logam seperti paku atau besi di dalamnya, semua menggunakan kayu.

“Malah, bagi mengekalkan keaslian warisan dan memastikan perlindungan intelektual, kami menggunakan pengiraan cara lama seperti inci, hasta, jengkal dan ruas bertujuan melindungi hak cipta kurikulum itu kelak serta menggalakkan orang luar yang berminat datang sendiri mempelajarinya.

“Ia bukan saja dibangunkan dengan wajah Melayu tradisional berbeza dengan kapal layar moden barat, malah turut dilengkapi kemudahan lain seperti dapur, bilik mandi dan tidur,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Meriyam berkata, projek kapal layar tradisional yang dimulakan sejak tiga tahun lalu dapat membantu kerajaan membangunkan industri kapal layar tempatan. Ia membabitkan empat tenaga pengajar dan lima pelatih.

Menurutnya, GIATMARA berharap projek berkenaan dapat memangkin pembangunan industri kapal layar tempatan dan pada masa sama membolehkan pelatih GIATMARA sendiri menjadi vendor pengusaha kapal tradisional pada masa depan.