Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN

GIATMARA Gerak Skuad Teknikal

SEBAHAGIAN daripada 300 kakitangan dan pelajar GiatMara negeri yang menyertai kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di Kampung Gajah, Perak, semalam.
PASIR SALAK 20 Jan. - GIATMARA akan menggerakkan skuad teknikal ke kawasan yang teruk dilanda banjir di seluruh negara bagi membantu membaiki rumah, motosikal serta peralatan elektrik yang rosak.
Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, setakat ini, skuad tersebut telah ke Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk memberikan perkhidmatan tersebut secara percuma. Jelas Mohd. Rosdi, perkhidmatan itu merupakan antara kerja sukarelawan yang dirangka pihaknya bagi meringankan beban mangsa banjir yang trauma dengan bencana alam itu.

“Selain itu, lebih 1,500 anggota skuad 'GiatMaraPeduli' digerakkan ke Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bagi membantu kerja penyerahan bantuan dan pembersihan. 
“Skuad teknikal yang bakal menyusul pula merupakan fasa ketiga. Kita akan menggunakan kemahiran yang dimiliki kakitangan dan pelajar dalam 55 bidang yang dimiliki untuk membantu segala yang diperlukan mangsa banjir tersebut.
“Ini termasuklah membaiki motosikal, mesin jahit, perkakas elektrik serta kerja-kerja yang mungkin ringan pada mata sesetengah orang seperti menggunting rambut. “Yang penting kami mahu mangsa banjir rasa gembira,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyertai kerja membersihkan premis awam dan rumah penduduk Kampung Kepala Pulau, Kampung Gajah dekat sini yang teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini. Sebanyak 300 kakitangan dan pelajar GIATMARA  seluruh negeri ini menyertai kerja-kerja pembersihan yang dilakukan sejak pukul 11 pagi.bYang turut hadir Pengarah GIATMARA  negeri, Kapten (B) Azaman A. Samad dan timbalannya, Rosman Ibrahim.
Jelas Mohd. Rosdi, perkhidmatan membaiki tersebut akan dilakukan pihaknya dengan bantuan pembesar kampung terlibat supaya hanya mereka yang benar-benar layak dapat dibantu. “Kita akan edarkan kupon kepada ketua atau pembesar kampung dalam kuantiti tertentu dan beliau akan mengagihkannya kepada mangsa terlibat.
“Mereka yang mendapat kupon ini boleh pergi ke tempat yang kita wujudkan untuk membawa barang-barang yang rosak itu. Jangan risau, semua perbelanjaan termasuk alat ganti, kita tanggung,” katanya.
Sumber Berita Utusan Online

No comments :