Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN

GIATMARA peruntuk RM12 j kpd lepasan pelatih





GIATMARA memperuntukkan sebanyak RM12 juta setahun bagi program membantu lepasan pelatih Giat Mara menjalankan perniagaan. Pengerusi GIATMARA Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, pada tahun ini, GIATMARA membantu seramai 1,723 bekas pelatih dengan tiap seorang menerima RM5,000. 


Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis penyerahan bantuan berkenaan dan Pelancaran Komuniti Usahawan GIATMARA Pahang Zon 2 di sini hari ini, beliau berkata GiatMara mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus bekas pelatih GIATMARA akan menceburi bidang keusahawanan. Sejak ditubuhkan 25 tahun lepas, 


GIATMARA berjaya melatih lebih 300,000 belia dan beliawanis dalam pelbagai bidang. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiga buah koperasi Bekas Pelatih GIATMARA akan ditubuhkan tahun depan iaitu di Zon Tengah, Timur dan Barat bertujuan mengumpulkan bekas pelatih untuk menentukan hala tuju perniagaan mereka selain berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan. 


Beliau menasihati bekas pelatih terbabit supaya menjadi ahli koperasi bagi menjamin masa depan mereka dan lebih berdaya saing.



50 pelatih Giat Mara akan menjadi perintis usahawan bergerak




Seramai 50 pelatih Giat Mara akan menjadi perintis program usahawan bergerak menerusi peruntukan yang diluluskan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Menyatakan demikian, Pengerusi Giat Mara Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, sebanyak RM500,000 telah diluluskan untuk program itu.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata, untuk permulaan pelatih Giat Mara yang terpilih akan dibekalkan dengan modal asas sebanyak RM10,000 dan peralatan dalam bidang kemahiran masing-masing.

Sebagai contoh katanya, pelatih yang mempunyai kemahiran menggunting rambut tidak perlu membuka kedai tetapi hanya memerlukan peralatan dan terus ke kawasan kampung dengan menggunakan motosikal untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.

Dalam pada itu katanya, Giat Mara juga akan menghantar pelatih-pelatih lain menjalani latihan praktikal ke premis-premis kemahiran bersesuaian dengan permintaan dan minat pelatih.

Katanya, setiap pelatih berkenaan akan diberi elaun sebanyak RM200 sementara premis yang menerima pelatih berkenaan juga diberi elaun RM200.