Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN

50 pelatih Giat Mara akan menjadi perintis usahawan bergerak




Seramai 50 pelatih Giat Mara akan menjadi perintis program usahawan bergerak menerusi peruntukan yang diluluskan Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Menyatakan demikian, Pengerusi Giat Mara Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, sebanyak RM500,000 telah diluluskan untuk program itu.

Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata, untuk permulaan pelatih Giat Mara yang terpilih akan dibekalkan dengan modal asas sebanyak RM10,000 dan peralatan dalam bidang kemahiran masing-masing.

Sebagai contoh katanya, pelatih yang mempunyai kemahiran menggunting rambut tidak perlu membuka kedai tetapi hanya memerlukan peralatan dan terus ke kawasan kampung dengan menggunakan motosikal untuk menawarkan perkhidmatan tersebut.

Dalam pada itu katanya, Giat Mara juga akan menghantar pelatih-pelatih lain menjalani latihan praktikal ke premis-premis kemahiran bersesuaian dengan permintaan dan minat pelatih.

Katanya, setiap pelatih berkenaan akan diberi elaun sebanyak RM200 sementara premis yang menerima pelatih berkenaan juga diberi elaun RM200.


No comments :