Ordered List

KEMAHIRAN MENJAMIN KEHIDUPAN

Belia digesa rebut peluang belajar ilmu kemahiran





Golongan belia digesa merebut peluang mengikuti pendidikan dalam latihan yang ditawarkan memandangkan pasaran kerja kini memerlukan pekerja berkemahiran.


Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara) Norol Azali Sulaiman berkata, golongan tersebut dilihat kurang berminat menceburi bidang kemahiran sedangkan bidang tersebut mampu diperluas menjadi jenis perniagaan yang menjana pulangan lebih lumayan.


"Kita sentiasa menggalakkan belia memilih bidang kemahiran sebagai landasan untuk meningkatkan taraf hidup malah GIATMARA di seluruh negara menawarkan pelbagai kursus latihan yang bersesuaian dengan pasaran kerja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan pelatih Selatan Thailand, di sini, hari ini.


Beliau berkata, usahasama dengan kerajaan Thailand dapat mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara malah sejak tahun 2001, GIATMARA telah berjaya melatih 390 pelatih dari negara itu.


Bagi sesi tahun ini, seramai 24 pelatih berumur 17 hingga 28 tahun dari negara jiran itu akan mengikuti kursus selama sembilan bulan di sembilan GIATMARA seluruh negara.


Setiausaha Pertama Kedutaan Diraja Thailand di Malaysia, Romdej Phisalaphong berkata pihaknya menggalakkan rakyatnya terutama di selatan negara itu mengambil peluang menimba ilmu di sini bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 


"Kami percaya dengan menghantar belia kami (mengikuti latihan) di negara jiran, kami akan memberi peluang kepada mereka untuk lebih faham supaya mereka dapat memberi faedah kepada negara kami," katanya.


Pelatih Nurulhuda Amin, 25, dari Yala berkata, beliau bertekad menggunakan peluang menimba ilmu kemahiran dalam bidang bakeri dan konfeksionari itu sebaik-baiknya demi membantu keluarga di kampung.


"Ibu bapa sangat menyokong saya mengikuti kursus ini dan saya berharap dapat membuka kedai sendiri suatu hari nanti," katanya.


Tuan Rusaimee Lateh, 28, dari Patani pula berkata, beliau memilih meninggalkan kerjaya sebagai penolong jururawat di sebuah hospital di Yala bagi menuntut ilmu dalam bidang kimpalan di pusat latihan di sini.


Katanya, beliau akan menggunakan ilmu kimpalan bagi membuka perniagaan nanti kerana ia mampu menjana pendapatan lebih tinggi berbanding kerjaya sebelum ini.

RM226 juta diperuntuk kepada GiatMara 2013





Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM226 juta tahun depan kepada GIATMARA, agensi latihan di bawah kementerian itu, untuk belanja mengurus 231 pusat latihan di seluruh negara termasuk ibu pejabat.


Timbalan Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata, kementerian itu juga menyediakan RM10 juta tahun depan pada menjayakan program inkubator, iaitu untuk lepasan GIATMARA yang cenderung ke arah menjadi usahawan.

GIATMARA peruntuk RM12 j kpd lepasan pelatih





GIATMARA memperuntukkan sebanyak RM12 juta setahun bagi program membantu lepasan pelatih Giat Mara menjalankan perniagaan. Pengerusi GIATMARA Datuk Shahiruddin Ab Moin berkata, pada tahun ini, GIATMARA membantu seramai 1,723 bekas pelatih dengan tiap seorang menerima RM5,000. 


Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis penyerahan bantuan berkenaan dan Pelancaran Komuniti Usahawan GIATMARA Pahang Zon 2 di sini hari ini, beliau berkata GiatMara mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus bekas pelatih GIATMARA akan menceburi bidang keusahawanan. Sejak ditubuhkan 25 tahun lepas, 


GIATMARA berjaya melatih lebih 300,000 belia dan beliawanis dalam pelbagai bidang. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiga buah koperasi Bekas Pelatih GIATMARA akan ditubuhkan tahun depan iaitu di Zon Tengah, Timur dan Barat bertujuan mengumpulkan bekas pelatih untuk menentukan hala tuju perniagaan mereka selain berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang perniagaan. 


Beliau menasihati bekas pelatih terbabit supaya menjadi ahli koperasi bagi menjamin masa depan mereka dan lebih berdaya saing.